Datuk Nur Jazlan Mohamed mengatakan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob tidak bercakap berdasarkan fakta apabila mengatakan peniaga kaum Cina punca kepada harga barangan meningkat pada ketika ini.
Pengerusi Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC)
itu berkata, tindakan tegas perlu diambil kepada menteri pertanian dan
industri asas tani itu yang kini tidak lagi mengakui mengeluarkan
kenyataan berbaur perkauman itu.
"Apa yang Ismail lakukan tidak
berdasarkan fakta, sekarang beliau mengatakan tidak mengatakannya,
kepimpinan atasan perlu mengambil pendirian tegas," katanya pada sidang
media selepas forum "Malaysia, Kebebasan Ekonomi, dan Globalisasi"
anjuran Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (IDEAS) bersempena
kelahiran Tunku Abdul Rahman ke-112 di Kuala Lumpur hari ini.
Nur Jazlan turut kecewa kerana
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak tidak mengambil tindakan tegas
terhadap menteri Ismail berhubung kenyataan perkauman menggesa orang
Melayu memboikot peniaga Cina jika mahu harga barang diturunkan.
Nur Jazlan berkata,
anggota Kabinet tidak seharusnya mengeluarkan kenyataan berunsur
perkauman kerana ia bakal memberikan kesan kepada pemikiran rakyat.
"Saya kecewa kerana perdana
menteri tidak memberikan kenyataan yang tegas terhadap kenyataan
(Ismail), sebaliknya menyokong Ismail dalam isu itu," katanya.
Najib sebelum ini mempertahankan Ismail Sabri
yang mengeluarkan kenyataan berunsur perkauman yang menggesa pengguna
Melayu memboikot peniaga Cina, mengatakan kenyataan menteri pertanian
dan asas tani itu tidak ditujukan kepada kaum tertentu.
Perdana menteri berkata, Ismail Sabri menegur semua peniaga yang enggan menurunkan harga barang walaupun Putrajaya menurunkan harga runcit minyak dan diesel turun.
"Teguran yang dibuat beliau ditujukan kepada semua peniaga dan bukan kepada peniaga daripada kaum tertentu.
"Selain itu, beliau juga
mencadangkan pengguna menggunakan kuasa beli mereka untuk memaksa
peniaga menurunkan harga barang," kata Najib dalam satu kenyataan hari
ini.
Nur Jazlan berkata, Kabinet mewakili peringkat tertinggi dalam proses pembuatan keputusan.
"Ia memberi gambaran bagaimana pemikiran kepimpinan-kepimpinan kita," kata ahli Parlimen Pulai itu lagi.
Ismail dalam tulisan di posting Facebooknya menyeru
pengguna, yang majoritinya orang Melayu menggunakan kuasa membeli
mereka bagi memboikot golongan peniaga, yang majoritinya di kalangan
kaum Cina, yang "liat turunkan harga barang walaupun minyak turun
harga."
Nur Jazlan berkata, kepimpinan
negara perlu bergerak lebih progresif demi meningkatkan nilai ekonomi
dan mengelakkan kenyataan-kenyataan populis dan retorik perkauman.
0 ความคิดเห็น:
แสดงความคิดเห็น