PAS perlu kembali kepada kepimpinan ulama agar dasar dan perjuangan parti Islam itu tidak tersasar daripada landasan syariat, kata Dr Mohd Zuhdi Marzuki.Pengarah Operasi Penyelidikan PAS Pusat itu berkata, saranan untuk kembali kepada kepimpinan ulama dibuat kerana khuatir pemimpin yang tidak dilantik daripada kalangan itu hanya akan menyesatkan ahlinya.
"Apabila gerakan Islam tidak dipimpin oleh ulama, akan tiba masanya mereka yang jadi pemimpin itu boleh sesat dan menyesatkan orang lain," katanya membentangkan kertas kerja mengenai gerakan Islam pasca Kebangkitan Arab pada Multaqa Ulama Se-Malaysia II di Serdang, Selangor hari ini.
Dalam pembentangannya juga, Dr. Mohd Zuhdi Marzuki memberi amaran yang PAS perlu melihat dengan sekutu mana konsep "tahaluf siyasi" yang diguna pakai dalam membentuk kerjasama dengan parti lain perlu dilaksanakan.
"Dalam konteks berhadapan dengan politik Malaysia, kita perlu lihat dengan siapa kita bertahaluf," katanya merujuk sekutu PAS dalam Pakatan Rakyat (PR), iaitu DAP dan PKR."Mereka yang lahir sebelum 1970-an tahu, DAP ini apa. Dan PKR pula, macam-macam orang ada dalam PKR.
Ada mereka daripada kumpulan Islam, Umno, malah mempunyai hubung kait dengan badan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Comango," katanya. Dr. Mohd Zuhdi Marzuki berkata, agenda PAS menawan Putrajaya sememangnya mempunyai halangan berliku, kerana itu amat penting bagi ahlinya akur dengan arahan Presiden Datuk Seri Abdul Hadi Awang.
"Kita memilih satu jalan yang kita boleh anggap menyampaikan kita ke Putrajaya, tapi jalan ini jalan yang penuh dengan hutan rimba, di sana ada buah-buahan, manisan, ada makanan yang baik, dan turut ada harimau, babi dan sebagainya.
"Maka, kita hendaklah ikut orang yang membawa kita dalam hutan rimba, dia presiden kita. Apabila ketua kata ke tepi, jangan kita ke tengah. Apabila disuruh berhenti, jangan kita terus mara. Siapa yang mara, mungkin akan ditelan babi, harimau," katanya.
Terdahulu, Pemangku Ketua Dewan Ulama Datuk Ahmad Yaakob dalam ucaptamanya berkata, PAS bakal mengkaji semula konsep tahaluf siyasi bersama rakan dalam PR.Menteri Besar Kelantan itu berkata, kajian itu perlu bagi memperbaiki beberapa perkara dari masa ke semasa agar dapat mengukuhkan kerjasama antara ketiga-tiga parti tersebut.
0 ความคิดเห็น:
แสดงความคิดเห็น