Menurut MAS, pesawat itu terbang melintasi ruang udara Syria yang kini sedang bergolak pada 20 Julai lalu pada jam 1.20 petang waktu tempatan atas kebenaran ICAO untuk menggunakan laluan itu.
"Jadual perjalanan pesawat MH004 adalah selari dengan kebenaran laluan yang diberikan ICAO," kata MAS dalam satu kenyataan malam ini.
Kenyataan MAS dikeluarkan ekoran posting di laman sosial Twitter Flightradar24 berkenaan laluan tersebut.
MAS berkata, laluan udara berkenaan juga tidak mengalami sebarang sekatan berdasarkan notis pihak berkuasa Penerbangan Awam Syria.
"MH004 hanya berada di ruang udara yang diluluskan ICAO," kata MAS.
"MAS tetap berpendirian keselamatan penumpang dan krew adalah keutamaan kami."
Pada Khamis lalu, pesawat MH17 terhempas di timur Ukraine, berdekatan sempadan Rusia, dipercayai ditembak mengorbankan 298 penumpang dan anak kapal termasuk tiga bayi apabila melalui ruang udara bergolak di antara sempadan dua negara berkenaan.
Insiden berkenaan adalah insiden kedua buat syarikat penerbangan nasional itu selepas insiden kehilangan pesawat MAS MH370.
Susulan kejadian itu, MAS menukar kod pesawat MH17 kepada MH19.
Mac lalu, kod penerbangan MH370 dan MH371 yang digunakan oleh MAS untuk laluan Kuala Lumpur-Beijing-Kuala Lumpur diganti kod baru iaitu MH318 bagi penerbangan Kuala Lumpur-Beijing dan MH319 untuk Beijing-Kuala Lumpur.
Langkah itu sebagai menghormati 239 penumpang dan kru pesawat MH370 yang dilapor hilang pada 8 Mac ketika dalam penerbangan dari ibu negara Malaysia ke Beijing. ~tmi
0 ความคิดเห็น:
แสดงความคิดเห็น