Datuk Seri Anifah Aman pernah membuat panggilan telefon kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim menunjukkan hasratnya menyertai pakatan pembangkang selepas menteri luar itu mendengar banyak ahli politik Barisan Nasional (BN) dari Sabah merancang untuk melakukan demikian, kata Anwar di Mahkamah Tinggi hari ini.
Anwar menyatakan perkara itu ketika memberi keterangan dalam kes saman fitnah terhadap menteri luar, selain mendedahkan ramai ahli politik BN yang datang minta kedudukan mereka diselamatkan.
Katanya, Anifah menghubunginya dari Hong Kong apabila mendengar ramai ahli politik Sabah mahu menyertai pembangkang.
"Beliau mahu saya mengesahkan nama dan bilangan (yang terbabit). Jika saya ada nombornya, dia berminat hendak turut serta.
"Saya tidak beri sebarang tawaran kepadanya dan tentu sekali tidak mempertimbangkannya bagi jawatan timbalan perdana menteri. Tidak masuk akal untuk bincangkan perkara begini menerusi telefon," katanya.
Anwar berkata Anifah tidak puas hati dan kecewa dengan Abdullah kerana tidak menawarkannya jawatan menteri, sebaliknya hanya menawarkan jawatan timbalan menteri pengangkutan, dan dia menolaknya.
"Sebab itu beliau datang kepada kami dengan harapan untuk diangkat.
"Ramai ahli Parlimen BN tidak puas hati dengan perdana menteri waktu itu, itu yang kemudiannya mencetuskan rancangan 16 September," katanya.
Dalam saman yang difailkan pada Mei 2009, Anwar mendakwa Anifah mengaitkan namanya dalam tawaran kabinet semasa sidang media di Washington bersama bekas setiausaha Amerika Syarikat Hillary Clinton.
Dalam saman fitnah RM100 juta, Anwar mendakwa kenyataan Anifah tidak berasas dan tidak bertanggungjawab yang turut dilaporkan media tempatan dan antarabangsa.
Mahkamah Tinggi pada 2011 membenarkan permohonan Anifah dan Putrajaya bagi mengenepikan saman atas dasar menyalah guna proses mahkamah.
Berikutan rayuan Anwar, Mahkamah Rayuan tahun lalu menyebut semula kes itu namun atas kapasiti peribadi. ~tmi
0 ความคิดเห็น:
แสดงความคิดเห็น